hai assalammualaikum
Panduan Asas Beli Rumah Pertama Yang Perlu Anda Ketahui - Mempunyai rumah idaman adalah keinginan semua orang, termasuk nad juga. Semestinya kita inginkan rumah sendiri yang selesa, bukan sahaja untuk diri kita malah untuk anak-anak. Seronok kan bila ada rumah atas nama kita sendiri, boleh buat apa kita suka dekat rumah tu.
Suka tengok kawan-kawan yang dah ada rumah sendiri, beli dengan hasil titikpeluh mereka. Nad pun adalah mintak pendapat kawan-kawan yang dah ada hartanah ni untuk dijadikan panduan nad bila nak beli rumah kelak.
Nak beli rumah ni, bukan macam kita beli sayur dekat pasar, kalau semudah itu semua orang dah ada rumah sendiri. Beli rumah ni memerlukan banyak proses terutama untuk mereka yang baru nak beli rumah buat pertama kali. Perlu buat aturan yang betul supaya kita tidak ditipu atau tersalah beli hartanah.
Panduan Asas Bagi Yang Mahu Beli Rumah Idaman Pertama
Benda paling penting nak beli hartanah ni kena tengok kemampuan kita, bukan keperluan ataupun terpengaruh dengan orang lain. Tengok kewangan korang mampu atau tidak. Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang selepas negara dilanda Covid-19, banyak cabaran yang perlu kita lalui. Sebab tu, banyakkan membaca, ketahui panduan asas yang betul ketika hendak membeli rumah.
1) Tahu Bajet Kewangan Anda
Ramai yang dah sedia maklum, nak dapatkan rumah bukan satu pembelian yang murah. Banyak perkara yang kita kena sediakan. Daripada downpayment, hingga ke bayar peguam dan lain-lain lagi kos yang kita kena tanggung. Paling kurang, kena sediakan dalam 10 hingga ke 15% simpanan daripada harga jualan rumah tu.
Mengikut laman Propertyguru, pinjaman rumah anda tak patut melebihi satu pertiga dari gaji kasar anda. Contohnya jika gaji bulanan anda adalah RM3000, jadi anda tak patut membayar lebih daripada RM900 bagi pinjaman perumah tersebut.
Mulakan simpan duit bermula sekarang. Ada banyak je teknik simpan dan gandakan duit yang boleh kita gunakan.
Nak lagi mudah, sebelum membeli sesebuah rumah, korang boleh buat pengiraan pendapatan dahulu untuk tau bajet kewangan korang berapa supaya tidak terbeban.
2) Semak CCRIS dan CTOS
Hah, yang ni korang wajib buat ye. Nak membeli rumah, pastikan tiada hutang tertunggak dengan pihak bank seperti PTPTN, loan motor, kereta, pinjaman AEON, personal loan dan sebagainya.
Benda ni semua penting tau, korang faham jela, kalau korang liat bayar, slip penyata tidak cantik, susah bank ingin luluskan pinjaman korang, tapi kalau semuanya ok, bayar on time je, tiada masalah, Bank luluskan pinjaman.
3) Membuat penilaian ciri-ciri rumah idaman
Spesifikasi rumah untuk didiami sendiri adalah sedikit berbeza dengan spesifikasi rumah untuk dijadikan aset pelaburan, maka kenal pasti tujuan anda nak beli rumah terlebih dahulu sama ada nak beli rumah untuk duduk sendiri atau beli untuk disewa.
Rumah idaman macam mana yang korang nak, rumah jenis banglo, Semi-D, Teres. Apartment, atau Kondominium?
Harga rumah bergantung mengikut jenis rumah yang akan anda pilih. Jika harga rumah tersebut tinggi, kos yang perlu anda keluarkan juga tinggi dan jika harga rumah tersebut rendah, kos pengeluaran pun rendah. Kalau lagi kecik, lagi bagus sebab komitmen tak besar sangat.
4) Memilih Lokasi Yang Sesuai
Pemilihan lokasi amatla penting, seperti nak duduk dalam bandar atau di luar bandar? Berapa jarak dari tempat kerja? Semua tu kena ambil kira juga.
Kawasan yang luas terutama jika anda memiliki anak ramai, persekitaran yang bersih. Kelengkapan seperti pagar rumah, tempat letak kereta, sumber air dan lain-lain.
Selain itu, kena lihat sekeliling, kemudahan apa yang ada seperti Sekolah, pusat membeli belah, bank, taman, dekat dengan lebuhraya, jalan raya, pengangkutan awam dan sebagainya. Macam nad memang suka cari kawasan yang jauh dari bandar tapi banyak kemudahan. Kalau pendalaman sangat pun akan menyusahkan kita kan.
Masalah yang kita hadapi sekarang ialah banjir. Nak ke kita beli rumah yang ditempat banjir. Dahla beli rumah mahal-mahal tiba kena banjir. Mesti taknak kan. Sebab tu masa mencari rumah, pastikan kawasan tersebut bebas dari banjir dan tanah runtuh.
5) Dapatkan Maklumat Berkaitan Pembelian Rumah
Pengalaman beli rumah untuk pertama kali, korang perlu dapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang pembelian rumah.
Dapatkan info dan menyemak status tanah ( sama ada ia hakmilik kekal, pajakan atau rezab melayu ). Mesti tau mengenai rekod syarikat pemaju, kos pembelian dan jenis rumah.
Macam nad suka pergi ke showroom hartanah untuk melihat projek perumahan yang ada. Dekat situ, bolehla bertanya pada pihak tersebut untuk menerangkan satu persatu mengenai hartanah tersebut. Dari situ nad boleh bandingkan mana yang sesuai.
Selain showroom, nak tau berkenaan maklumat pembelian rumah korang boleh bertanya kepada syarikat-syarikat pemaju perumahan sama ada mereka mempunyai projek perumahan yang sesuai untuk korang.
Dapatkan juga info-info di internet berkaitan pembelian rumah seperti laman sesawang kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Korang juga boleh mencari maklumat tentang Institusi kewangan yang menawarkan kemudahan pinjaman perumahan (sama ada konvensional atau Islamik).
6) Permohonan Pinjaman
Tengok pada harga rumah sekarang, memang mustahil nak beli secara tunai, melainkan korang memang orang kaya ye. Oleh itu, kemudahan pembiayaan pinjaman perumahan menjadi keperluan bagi mereka yang nak dapatkan rumah impian.
Sebelum meminjam, korang kena tau berapa harga hartanah tu dan buat pengiraan kos ansuran bulanan yang perlu dibayar.
Bila dah buat kira-kira dan korang mampu untuk bayaran bulanan, bolehla teruskan untuk membuat permohonan pinjaman dan sertakan beberapa dokumen yang dikehendaki. Pihak bank pun akan cek segala semua korang punya dokumen, ada hutang ke tidak, dan macam-macam lagi. Bila semua dah ok, bank akan kemaskini status pinjaman sama ada korang layak atau tidak.
Macam nad kata tadi, banyak proses yang dilakukan apabila hendak beli rumah, lagi-lagi rumah pertama. Kalau boleh rujuk pada yang pakar dan berpengalaman.
Kalau sebut pasal bab duit, sebenarnya tak kisah gaji korang kecil atau besar takkan menghalang korang daripada membeli rumah pertama. Selagi korang bertanggungjawab dalam menjaga perbelanjaan, hartanah akan jadi aset yang sangat berguna, dan boleh meningkat nilainya.
Maka jadilah pembeli yang bijak. Semak pendapatan dan belanja. Kurangkan kos yang tak perlu dan buat bajet bulanan. Dari sini korang boleh tahu, berapa sebenarnya korang boleh peruntukkan untuk bayar komitmen rumah. Dan belilah rumah mengikut bajet anda. Nak menyewa dahulu pun boleh, dalam masa menyewa boleh simpan duit, dah cukup bolehla nak beli rumah idaman korang tu. Doa banyak-banyak, insyallah ada rezekinya nanti untuk memliki hartanah sendiri.
Add your comment